Monday, October 18, 2010

Mystery Ethnic ll.

Berawan Di Long Terawan




Kaum Berawan termasuk dalam golongan Orang Ulu Sarawak yang kebanyakannya mendiami beberapa lokasi di Hulu Baram dan Marudi. 
Suku kaum ini, pada mulanya mendiami kawasan di Hulu Sungai Tapah dan Sungai Asap di daerah Hulu Baram yang kebanyakannya berketurunan Kenyah. 
Suku kaum ini dikatakan terbahagi kepada empat puak atau etnik iaitu suku : 


#kaum Berawan Long Terawan di daerah Mulu


#Berawan Batu Belah (Sungai Tutoh), 


#Berawan Long Teru 


#Berawan Long Jegan di Sungai Tinjar.

Untuk sampai ke Long Terawan dengan cara pengangkutan paling mudah, pengunjung boleh menggunakan pesawat MASwing ke Mulu terlebih dahulu. Kemudian dari Mulu barulah menaiki bot atau perahu turun ke hilir Sungai Tutoh.
Seterusnya ke Long Terawan
Dari Mulu ke Long Terawan mengambil masa kira-kira dua jam.
Long Terawan merupakan sebuah rumah panjang Kaum Berawan yang terletak di tebing Sungai Tutoh di sebelah hilir Taman Negara Mulu. 
Perjalanan boleh juga dimulakan dari Bandaraya Miri ke Kuala Baram dengan menaiki teksi atau kereta dan meneruskan perjalanan menggunakan Bot Ekspres dari situ ke Pekan Marudi selama lebih kurang tiga jam. 
Perjalanan diteruskan dari Pekan Marudi dengan menaiki perahu panjang untuk mudik ke hulu Sungai Baram menuju ke Long Terawan yang mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam.
Kaum Berawan Long Terawan berketurunan etnik Berawan–Tering dan beragama Kristian. Kehidupan penduduk di situ kebayakannya menanam padi bukit secara shifting cultivation, menangkap ikan, mengumpul hasil hutan dan memburu. 
Terdapat beberapa individu menceburi industri pelancongan dengan membuka perkhidmatan agensi pelancongan di bandar seperti Miri di samping menyediakan hotel-hotel murah di kawasan tanah milik mereka yang dikenali sebagai Native Customary Right (NCR) berhampiran dengan Taman Negara Mulu.
Perkampungan Rumah Panjang Long Terawan terletak di kawasan tanah agak tinggi dibina kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Tutoh. Rumah panjang tersebut telah dibina lebih sejak 40 tahun yang lalu. Oleh kerana ia dibina di kawasan tanah yang agak tinggi, ia tidak mudah di landa banjir walaupun paras air Sungai Tutoh naik melimpah.



Berhijrah Ke bandar

Kampung Rumah Panjang Long Terawan mempunyai 85 buah pintu dan 1,000 penduduk. Majoriti penduduknya berketurunan Berawan-Tering dan beragama Kristian. Terdapat juga beberapa bangsa lain yang berkahwin dengan penduduk tempatan seperti Cina, Kayan, Kenyah, Iban, Kelabit, 'Orang Putih' dan lain-lain.
Seperti masyarakat Orang Ulu yang lain, Kaum Berawan juga mempunyai adat resam mereka tersendiri. Mereka terikat dengan adat budaya yang dipraktikkan sejak turun temurun walaupun tidak ramai yang mengambil berat tentang kesahihannya.



Sejarah

Nama Long Terawan diambil dari nama sebatang anak sungai terletak tidak jauh dari Rumah Panjang berkenaan sejak empat dekad yang lalu. 
Rumah Panjang ini dibina di sebelah hulu Sungai Kuala Terawan atau Long Terawan. 
Sekarang Rumah Panjang tersebut telah dibina di sebelah hilir Sungai Terawan dengan namanya yang masih kekal sehingga kini.
Menurut sejarah, Rumah Panjang Berawan pada satu ketika dahulu pernah dibakar oleh Tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. 
Sewaktu itu Rumah Panjang ini berada di Long Beruang, hanya 40 minit menggunakan perahu dari tempat sekarang. 
Bagaimanapun dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana penduduk kampung pada masa itu telah lari bersembunyi ke tempat lain. 



Ngajat Kaum Berawan Lebih Halus Berbunga

Ngajat lebih dikenali sebagai seni tari tradisional kaum peribumi di Sarawak sekali gus ia melambangkan identiti kebudayaan negeri ini. 
Bagi masyarakat umum di luar Negeri Sarawak, tarian ngajat biasanya dikaitkan dengan kaum Iban dan ramai yang tidak mengetahui bahawa tarian tersebut juga ditarikan oleh suku kaum Orang Ulu. 
Tarian ngajat yang dipersembahkan mempunyai identiti tersendiri mengikut etnik.
Bagi kaum Orang Ulu dari etnik Berawan, penari tarian ngajat lelaki Berawan biasanya lebih banyak menggunakan pergerakan tari atau pun bunga dengan gerak tari yang agak perlahan tetapi masih mengekalkan rentak asal. 
Ngajat kaum Berawan juga tidak mengangkat kaki tinggi tetapi sekadar menampakkan pergerakan kaki dengan sedikit berjengket. Manakala ngajat kaum Iban pula lebih mempamerkan kekuatan pada pergerakan kaki dengan mengangkat kaki tinggi terutamanya ketika aksi memusingkan badan serta parang dalam gerak tarinya.
Tarian ngajat tidak sempurna tanpa si penari mengenakan pakaian tradisionalnya. Pakaian tradisional lelaki Berawan dilengkapi dengan :

#Utap (perisai kayu), 

#Uton (parang), 

#Layar (baju khas), 

#Talam (rantai manik), 

#Tebuton (topi bulu burung Kenyalang dan burung ruai) 

#Gelian(gelang tangan). 

Layar atau baju khas bagi lelaki diperbuat daripada kulit binatang di mana jika kulit haiwan ganas seperti harimau yang digunakan menggambarkan sikap si pemakainya yang bersifat pejuang dan berani. 
Pakaian yang diperbuat daripada kulit harimau dan beruang asli yang ada pada hari ini merupakan warisan turun temurun dan bernilai tinggi kerana material tersebut agak sukar untuk diperolehi. Kebanyakan pakaian tradisional yang ada di pasaran ketika ini telah diubah suai dari aspek material dan dijual lengkap dengan aksesori.
Bagi wanita Berawan, mereka dikenali kerana gemar menggunakan pakaian bersulam manik berwarna hijau, merah jambu, hitam dan merah. Pemakaian pakaian penuh sulaman manik itu biasanya dilengkapi dengan aksesori wanita seperti :

#belanyat (beg tangan sulaman manik),

#libityang (sejenis beg galas yang berfungsi untuk mendukung bayi atau tempat menyimpan barang) 

#sekiong (topi khas separa penuh yang dihiasi sulaman manik-manik). 

Pakaian tradisional wanita pula lebih bertemakan alam sekitar, bercorak bunga atau pokok dan ada sesetengah juga yang menggunakan tema corak binatang. Pakaian yang bercorak sedemikian dipakai oleh ketua penari wanita yang mengepalai persembahan. Pakaian khas tersebut menggunakan material dari kain baldu mikro berwarna hitam dan akan disulam dengan manik-manik bercorak binatang seperti naga dan harimau. Manik disulam membentuk gambar binatang, manakala bahagian lain dibiarkan kosong berbanding corak lain menggunakan sepenuhnya setiap ruang untuk disulam manik bertemakan alam sekitar.



Senget juak! 

No comments: